Oleh : Haniza Abdul Latif / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Haji Ariffin Mohd. Noor / Morshidi, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 8 Julai. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bertitah mengajukan beberapa pertanyaan untuk dijawab oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) dan Jabatan Urusan Zakat, Waqaf dan Baitulmal (JUZWAB) secara bertulis, iaitu apakah masalah yang berbangkit mengenai pengagihan zakat dalam proses penilaian sehingga zakat itu dapat diagihkan?
Semasa Keberangkatan Tidak Berjadual ke KHEU, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam seterusnya bertitah mempersoalkan, jika asnaf fakir miskin mengalami masalah pengagihan zakat tetapi mengapa pula masalah ini berlaku kepada asnaf, amil turut pula lambat menerima zakat?
Dalam titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut bertanya, adakah JUZWAB pernah mengongsi, berbincang dengan pihak Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB), Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) dan Kementerian Kewangan dan Ekonomi (MOFE) berhubung dengan maklumat temu duga atau hasil siasatan ke atas para pemohon untuk digunakan sebagai dasar menentukan kriteria kelayakan.
"Cuma terangkan apakah kriteria-kriteria kelayakan bagi penerima semua golongan asnaf Negara Brunei Darussalam? Berapa kerapkah mesyuarat penilaian kelayakan penerima zakat diadakan?
"Berapa banyakkah permohonan baharu dan lama telah disemak dalam setiap mesyuarat? Berapa banyakkah permohonan yang masih pending, masih menunggu, belum lagi selesai?
"Adakah terdapat di Brunei statistik mengenai kemiskinan? Setakat ini, berapa ramaikah rakyat dan penduduk disahkan sebagai fakir dan miskin?", titah baginda lagi.
Kebawah DYMM seterusnya bertitah, dua cara bantuan dari JUZWAB sedang diperkenalkan, iaitu memastikan asnaf, fakir dan miskin dapat sustain dalam kehidupan mereka seharian, iaitu pertama melalui bantuan secara bulanan, dan kedua bantuan untuk meningkatkan keupayaan.
Dalam perkara ini titah baginda lagi, adakah pemantauan dibuat ke atas asnaf yang diberi bantuan untuk meningkatkan keupayaan sama ada mereka itu boleh menjadi pembayar zakat, dan setakat ini, berapa buahkah rumah yang dibina oleh Baitulmal, dan adakah semuanya telah dihuni?